Share

DAP masih bersatu padu – Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu masih bersatu padu dan sepakat dalam memberi keputusan berhubung isu khat Jawi di sekolah vernakular.

Lim berkata satu kenyataan rasmi akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat berkaitan bersama wakil rakyat DAP di ibu pejabat parti pada Isnin.

Antara pemimpin tertinggi yang menyertai taklimat itu ialah Setiausaha Organisasi, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Timbalan Setiausaha Agung, Teresa Kok serta pimpinan-pimpinan negeri.

Setiausaha Antarabangsa DAP yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Baru-baru ini, Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu di semua sekolah dalam negara termasuk SJKC dan SJKT.

Pengumuman itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk 138 pemimpin akar umbi dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad walau bagaimanapun dalam maklum balasnya berhubung isu itu berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.

Leave a Comment