Share

Anwar tuntut penjelasan MB Johor

Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menuntut penjelasan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal berhubung dakwaan wujud campur tangan pihak istana dalam isu had umur belia di negeri itu.

“Saya mahu minta penjelasan menteri besar Johor dan itu saya ingat ia proses yang lebih baik,” katanya ringkas dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan tegas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa kerajaan pusat akan membatalkan keputusan Johor dalam mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun sekiranya terdapat bukti campur tangan istana.

Mahathir semalam berkata istana tidak ada hak untuk untuk campur tangan sebarang keputusan kerajaan pusat.

“Ada cerita campur tangan istana dalam keputusan kerajaan Johor mengekalkan had umur belia kepada 40 tahun.

“Istana tidak ada hak untuk campur tangan keputusan kerajaan.

“Kami akan membatalkan keputusan Johor jika bukti ada campur tangan istana,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak memperincikan apakah kerajaan pusat sedang menyiasat keputusan kerajaan Johor akibat campur tangan daripada Istana.

Kerajaan negeri Johor sebelum ini dilaporkan membuat beberapa pusingan U berhubung isu had umur belia sebelum mengambil pendirian menolak cadangan itu dan mahu mengekalkan umur 40 tahun sebagai had usia belia.

Pada 1 Julai lalu, Syed Saddiq membentangkan rang undang-undang(RUU) untuk mendefinisikan semula istilah belia sebagai golongan berumur bawah 30 tahun melalui pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 bagi bacaan pertama di Dewan Rakyat.

Leave a Comment